Terjumpa Jalan Lain...


Apa yang hendak aku kongsikan ini adalah sebuah pengalaman yang aku perolehi dan ianya antara pengalaman paling berharga yang pernah aku perolehi dalam hidup aku.

Dahulu, aku pernah bercinta atau dalam istilah yang digunakan oleh kebanyakan orang pada zaman sekarang adalah 'couple'. Tetapi sebelum itu, pernah juga aku bercinta tapi itu hanya cinta monyet atau aku sahaja yang syok sendiri. Aku tak menganggap itu sebagai cinta, tetapi hanya suka-suka sahaja. Tetapi aku mengenal erti cinta setelah tingkatan 5. Tapi ini bukanlah cerita utama yang ingin aku sampaikan. Dipendekkan cerita, hubungan aku tidak kesampaian. Itulah pengalaman paling pahit dalam hidup aku.

Setelah meninggalkan dan ditinggalkan, aku merasa kosong. Aku merasa seperti ada sesuatu yang perlu aku isikan dalam hati aku. Aku merasa sedih, aku merasa hiba, aku merasa kecewa. Suatu hari, sedang aku menolong ibu aku menyidai ampaian sambil mendengarkan alunan merdu ayat al-Quran yang dipasang di telefon bimbit aku, aku terdengar seruan azan yang menandakan masuknya waktu Zuhur. Barulah ketika itu aku merasa seperti teringin untuk solat berjemaah di masjid. Jadi aku bergegas menyiapkan kerja yang sedang aku lakukan itu agar aku sempat berjemaah di masjid.

Tiba-tiba seorang sahabat karib aku, Shafiq, datang ke rumah aku untuk mengajak aku keluar. Shafiq  adalah pelajar baharu di sekolah pada tahun itu. Ya, akulah yang paling rapat dengannya ketika itu selain keluarganya sehinggakan ibunya telah menganggap aku sebagai anak walaupun kami baru berkenalan hanya enam bulan. Lalu, aku beritahu kepadanya bahawa aku hendak berjemaah di masjid. Kemudian dia menyatakan hasratnya yang sama. Ketika itu, aku kekeliruan. Aku berasa hairan kerana selama enam bulan aku bersahabat dengannya, tidak pernah walau sekalipun dia mengajak aku untuk berjemaah di masjid. Selalunya, dia akan mengajak aku keluar ke pusat membeli-belah atau ke bandar untuk bersiar-siar dan melepak. Tetapi kali ini berbeza. Aku sangat hairan kerana aku dan dia boleh terfikirkan hal yang sama di hari yang sama dan di waktu yang sama. Lalu aku pun bergegas bersiap dan memboncengnya ke masjid.

Usai solat Zuhur berjemaah di masjid, kami hendak pulang. Ketika itu, Shafiq kehilangan seliparnya. Lalu, aku membantunya mencari selipar yang hilang itu. Tidak lama selepas itu, seorang lelaki berjubah dan berkopiah serba hitam keluar dari tandas dengan selipar itu. Mungkin lelaki itu menyangkakan bahawa selipar itu adalah selipar tandas masjid kerana Shafiq menanggalkannya di hadapan tandas. Ketika itu, mulalah aku dan Shafiq berkenalan dengan jejaka berpakaian serba hitam itu. Kami memanggilnya Abang Asswad. Beliau pun mulalah bercerita kepada kami tentang Islam, kekuasaan Allah, keindahan alam ciptaan Allah, dan tentang kemanisan iman. Begitu asyik kami mendengarkan beliau bercerita sehingga kami tidak sedar sudah satu jam kami berborak di hadapan tandas masjid. Bermula dari situlah, aku dan Shafiq berniat untuk istiqamah berjemaah di masjid.

Mulalah perjalanan hijrah kami. Kami mula rajin ke masjid, rajin mencari ilmu di masjid-masjid sekitar negeri Melaka. Sejujurnya, tahun itulah tahun yang paling banyak kami melawat masjid di sekitar Melaka. Tahun itu sahaja. Aku masih ingat lagi. Setelah solat asar, di hadapan masjid, di hadapan aku, dia memutuskan perhubungan dengan kekasihnya melalui aplikasi What's App tanpa berfikir panjang kerana takut terjerumus dengan lembah dosa dan zina. Ketika itu, kami baru belajar. Kami mula sedar bahawa 'couple' itu adalah haram kerana ianya adalah jalan menuju ke lembah kemaksiatan. Yang aku katakan pengalaman paling pahit aku semasa bercinta itu, bukanlah kerana putus hubungan tetapi selama aku bercinta itu. Kerana semasa bercinta itu, aku bergelumang dengan dosa. Kerana ketika itu di hati aku bukanlah ada Allah atau ibu bapa aku tetapi si dia. Manakala pengalaman terindah aku adalah persahabatan aku dan Shafiq, di hari-hari kami bergegas bersiap menaiki motosikal menuju ke masjid-masjid yang mempunyai program dakwah, ceramah, tabligh, dan sebagainya.

Setelah tamat zaman persekolahan, kami merancang untuk memasuki madrasah atau pondok yang sama untuk mendalami ilmu agama. Tetapi aku tidak mampu dari segi kewangan, manakala Shafiq dapat meneruskan langkahnya. Aku pula bekerja untuk mengisi masa luangku dari menganggur sementara menunggu keputusan permohonan menyambung pelajaran ke intitusi pengajian tinggi. Mulalah aku berjuang sendirian. Tetapi iman itu tidak kekal dan ianya turun-naik. Aku mula terumbang-ambing sehingga kini. Aku ada usaha tetapi bukan mudah. Kadang-kadang aku merasa malas dan lalai. Kadang-kadang aku rajin. Kemudian aku merasa malas yang berpanjangan. Tambahan pula dengan penat bekerja dan macam-macam tarikan dunia.

Sekarang aku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu manakala Shafiq pula di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), bergelar hafiz dan menyambung pelajaran dalam bidang Pengajian Islam dan Sumber Manusia. Ada jugalah rasa cemburu dengannya. Tapi aku harus sedar dengan rezeki masing-masing. In syaa Allah aku juga akan memperoleh kesempatan yang sama cuma mungkin lewat sedikit.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Perahsia dan cerita-cerita lainnya

Renungan

Ulasan Makalah